#prnsarawak Parti Keadilan Rakyat, PKR bertegas enggan tunduk kepada desakan DAP supaya pihaknya mengurangkan jumlah kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Ini selepas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menolak permintaan DAP supaya memastikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional termasuk di lima kerusi DUN yang menjadi rebutan.

Langkah itu sekaligus menidakkan harapan Pakatan Harapan untuk mengelakkan pertembungan sesama calon mereka di lima kerusi DUN.

Kenyataan Datuk Seri Azmin itu dilihat sebagai sokongan kepada Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mahu 40 calon PKR bertanding kali ini selepas mengumumkan 35 calonnya baru-baru ini.

Sebelum ini, PKR menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di 40 kerusi dan enggan tunduk kepada tekanan memberikan laluan di lima kerusi kepada rakan sekutunya.

Lima kerusi yang menjadi rebutan ialah Bukit Semuja, Simanggang, Mambong, Mulu dan Murum.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan pemimpin kedua-dua parti, mereka dilihat tidak mahu mengalah dan berkeras mahu calon masing-masing bertanding ketika hari penamaan calon kian hampir.