#prnsarawak Selepas beberapa pemimpin pembangkang dihalang masuk ke Sarawak, siang tadi, tindakan sama dikenakan ke atas Pengerusi Gabungan NGO Melayu yang juga Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Beliau ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 11.30 pagi tadi.

Tiada penjelasan mengapa Datuk Jamal serta tiga yang lain ini dihalang daripada masuk ke Sarawak.

Tiga lagi individu yang diarah berpatah balik adalah Ariffin Abu Bakar, Rahim Ibrahim dan Razali Zakaria.

Mereka juga dilaporkan terbabit dengan NGO yang diketuai Datuk Jamal.

Notis penolakan masuk dikeluarkan mengikut Seksyen 65 (1) Akta Imigresen 1953-1963.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang turut dihalang.