#prnsarawak BELAGA : Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan selular dan internet lebih luas di kawasan luar bandar di seluruh negara dengan kadar murah dan berkesan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha bagi merapatkan jurang digital antara
kawasan bandar dan luar bandar.

“Sesungguhnya, sasaran kerajaan bahawa menjelang 2020, kadar penembusan internet adalah sekitar 95%. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu
mengenal pasti atau membangunkan sistem baharu yang sangat bersesuaian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan sebuah menara pemancar komunikasi milik Digi Telecommunication Sdn Bhd, yang membolehkan penyediaan perkhidmatan selular 4G LTE serta pekhidmatan internet dan sistem komunikasi, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Long Urun.

Dengan penduduk kira-kira 1,200 orang, Long Urun, adalah sebuah penempatan Penan dengan mempunyai 14 rumah panjang termasuk 4 rumah panjang Kenyah serta Sekolah Kebangsaan Long Urun.