#prnsarawak Perdana Menteri berkata banyak lagi usaha pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sedang dan akan diteruskan untuk Sarawak dan rakyatnya.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengulas mengenai manifesto BN Sarawak memberi jaminan tiada sesiapa sekalipun akan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Menerusi catatan di blog www.najibrazak.com, beliau berkata antara perkara utama yang dititik beratkan oleh BN dalam masa terdekat ini adalah menambah baik rangkaian perhubungan di Sarawak.

Antaranya perhubungan antara bandar, membuka peluang ekonomi melalui hubungan rangkaian, selain menambah baik perhubungan internet serata negeri.

Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang pesat dibangunkan adalah sebahagian daripada usaha tersebut.

Apabila siap kelak, lebuhraya terbabit akan kekal bebas tol kepada penggunanya, selain membuka banyak peluang ekonomi kepada penduduk.

Banyak kerja-kerja pembinaan turut dipertanggungjawabkan kepada kontraktor-kontraktor tempatan iaitu anak-anak Sarawak sendiri.